Saturday, 29 February 2020

MESYUARAT AGUNG PIBG SKTAR KALI KE-49 2020



KHAMIS | 27 FEBRUARI 2020: Pihak sekolah telah selesai menganjurkan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Kali ke-49 dengan lancar. 

Mesyuarat tersebut telah dirasmikan oleh Tuan Haji Hashim Bin Mohamad Kalang, Ikon Rakan Strategik PIBK Segamat. Beliau turut memberikan sumbangan hadiah cabutan bertuah utama berupa Tiket Perjalanan Pergi dan Balik menaiki ETS Gemas ke Kuala Lumpur kepada pasangan ibu bapa yang bertuah.

Mesyuarat tersebut yang telah dipengerusikan oleh Yang Dipertua PIBG, Encik Mohd Yusof Bin Bujai berjalan dengan lancar dengan kehadiran pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tampin, Tuan Haji Zulkifli Zainudin, barisan pentadbir SKTAR, guru-guru SKTAR, ahli jawatankuasa PIBG serta hampir 90 peratus kehadiran pihak ibu bapa.

Mesyuarat yang bermula pada jam 2.30 petang di dewan hingga jam 6 petang itu turut disertakan dengan majlis penyampaian hadiah kecemerlangan kepada murid terbaik UPSR 2019, iaitu Nawfal Hazim Bin Zainal dan Nur Najihah Binti Nor Azharludin yang telah disampaikan oleh Tuan Haji Hashim Bin Mohamad Kalang.

Pelbagai aduan dan cadangan telah disampaikan oleh beberapa wakil ibu bapa yang hadir dalam usaha untuk menjadikan pengurusan pihak sekolah berjalan dengan lebih lancar seterusnya mengutamakan pencapaian anak-anak SKTAR.

Mesyuarat juga telah diserikan lagi dengan sesi penyampaian pelbagai hadiah cabutan bertuah kepada ibu bapa dan guru yang bertuah pada hari tersebut. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak yang telah membuat sumbangan bagi memeriahkan lagi majlis tersebut.

Pihak sekolah turut merakamkan ucapan terima kasih buat semua pihak yang telah hadir pada hari tersebut terutamanya pihak ibu bapa yang sentiasa memberikan masa dan kerjasama demi memastikan pencapaian anak-anak berjalan dengan lancar. Pihak sekolah juga memohon kemaafan daripada semua pihak atas segala kekurangan yang ada sepanjang program berjalan.

Semoga segala usaha semua pihak sentiasa diberkati dan dirahmati Allah SWT. InsyaAllah.



Bacaan Doa oleh Ustaz Wan Mohd Hazim Bin Wan Mohd Zuhaidi